Ramadhan adalah bulan untuk menghapus dosa. Hal ini berdasar hadis Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ لَمَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَائِرُ
"Solat lima waktu, dari Jumaat (yang satu) menuju Jumaat berikutnya, (dari) Ramadan hingga Ramadan (berikutnya) adalah penghapus dosa di antaranya, apabila ditinggalkan dosa-dosa besar." (HR. Muslim)
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharap redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut: Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.
KELEBIHAN BERPUASA
SALAH satu keagungan, keistimewaan dan kemuliaan Ramadan ialah satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan.
Malam yang hanya muncul pada 10 hari terakhir Ramadan itu lebih dikenali sebagai Lailatul Qadar. Rasulullah sendiri memohon kepada Allah agar malam bersejarah yang penuh hikmah itu menemuinya.
Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda bermaksud:
Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.
Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya.
Justeru, Rasulullah bersabda, maksudnya: "Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat".
Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah disebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.
Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain
KEGEMBIRAAN BERPUASA
Sabda Baginda Rasulullah : "Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda.
Firman Allah :"Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku." Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi."
(Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)