Facebook Twitter Delicious Stumble Upon
0 comments

Monolog Keinsafan


Ketika sedang membasuh pinggan untuk memberi laluan kepada rakan serumahku untuk memasak, aku terdengar suara muazzin bergema melaungkan azan Asar… ketika itu,terdetik di hatiku… alangkah pengasihnya Dia yang mencipta diriku… sudi memanggilku lima kali sehari untuk menghadapNya walau aku seringkali sahaja melupakanNya malah ‘mencabarnya’ dengan maksiat-maksiat yang aku lakukan…hiba rasanya di hati mengenangkan rahimnya Tuhanku… seperti kata-kata seorang pendakwah yang pernah ku dengar…’so close He is, no matter how far you are..’.

Aku bertambah hiba bila terkenang sebuah hadith yang Nabi cerita bahawa Allah turun ke langit dunia setiap malam…hiba dan tersentuh mengenangkan Tuhanku tak jemu-jemu turun setiap malam untuk menawarkan rahmatNya serta keampunanNya kepadaku walaupun aku dan kebanyakan manusia-manusia lain terus tidur setiap malam tanpa tergerak sikitpun untuk bangun. Subhanallah…Kau sentiasa sudi memanggilku 5 kali setiap hari…

Kau tak jemu-jemu memanggilku untuk bangun setiap malam untuk Kau tawarkan padaku rahmat dan keampunanMu… walaupun hakikatnya diri ini jarang sekali mengingatiMu malah seringkali pula berbuat maksiat kepadaMu… sungguh Engkau Maha Baik… dan sungguh aku benar-benar zalim terhadap diriku sendiri!


Sedang asyik terkenang kasih Tuhanku, aku tersedar yang aku telah lewat. Lalu aku bergegas mengambil wuduk dan ke masjid. Alhamdulillah, aku sempat solat asar berjemaah. Selesai solat, aku duduk sebentar… di kala itu ku rasakan satu perasaan… perasaan bersalah berbaur cinta terhadap Tuhanku… bersalah kerana aku banyak lari dari manhaj Tuhanku… cinta?? Ya, cinta yang kurasa ia wujud lama di hatiku walau aku sering terleka akan kehadirannya… namun kali ini aku mengaku kalah… aku terasa ia sesuatu yang sangat penting,yang tak wajar aku abaikan kehadirannya… aku terasa yang aku terlalu memerlukan cinta itu untuk hidup dengan lebih tenang dan lebih beerti.

Mungkin ini adalah saat-saat fitrah yang telah lama terkabur dengan maksiat-maksiat itu mulai mendongakkan kepalanya kerana sudah tidak tahan menyelam di lautan maksiat.

 Saat yang tidak sewajarnya dibiarkan olehku kerana kelak ia mungkin jatuh lemas kembali. Pelik bila aku memikirkannya… bagaimana di saat diri penuh dengan maksiat, boleh juga hatiku ini terasa sentuhan fitrahnya? Di kala kepelikan itu, tergenang sekali lagi air mataku… sesungguhnya itulah Tuhanmu wahai diri… itulah rahmat kasih Tuhanmu… Dialah yang menyentuh hatimu sebenarnya… kerana Dia tidak rela melihatmu terus alpa walau pada hakikatnya hatimu itu terlalu kotor untuk menerima sentuhanNya … ya Allah … Maha Suci Engkau… Maha Benar Engkau tatkala diriMu berfirmanmu:

“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan” (2:74)

Ya Allah… sungguh Engkau Maha Sempurna…

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka)” (57:16)

Bala ya Rabb…telah sampai masanya…ampunkanlah diriku…

Ikkk…Bunyi kuisan pintu oleh siak masjid itu menyedarkan aku. Oh, pakcik siak dah nak tutup masjid rupanya. Aku bagi isyarat ‘istanna’ pada pakcik itu dan menadah tangan berdoa kepadaNya… ya Allah, aku tidak punya selain Engkau, ya Allah tidak ada tempat aku nak lari melainkan kepada Engkau, ya Allah pimpinlah aku… ya Allah ‘pilihlah’ aku dengan rahmat dan kasihMu… Ikhwah dan akhawat, doakanlah diri ini agar dikurniakan hidayahNya…semoga kalian juga dipimpinNya dan dithabatkanNya, amin.



0 comments

Ada Apa Dengan Cinta?


Cintalah yang menolak manusia melakukan perkara yang jauh menjangkaui potensi diri, yang tidak disedari bahawa selama ini, mereka mampu lakukan sebenarnya.
Cinta menolak Khadijah untuk diam, bila Muhammad pulang dengan keadaan menggigil-gigil. Sedang hati sudah pastinya sangat tertanya-tanya, apakah yang menimpa suaminya sehingga sebegitu rupa. tapi cinta menolaknya untuk diam. Sabar. Menenangkan suaminya. Dan setelah tenang, barulah bertanya.
Cinta juga membuat Umar tidur tak lena setelah anak perempuannya ditanam hidup-hidup. Sedang dialah yang paling gagah. Dialah yang paling ego. Tetapi hanya secebis rasa kemanusiaan, dan perasaan cinta, mampu mengganggu tidur sosok segarang itu.
Cinta pada Pencipta; mendorong Rabiatul Adawiyah membutakan matanya tika ada pemuda yang terpana pada dua mata itu. Cinta juga boleh menolak seorang raja menghabiskan seluruh kekayaannya demi meminang si Qatrunnada. Cinta telah mengakibatkan Hamnah bt Jahsy menangis kesayuan mengenangkan anaknya yang telah menjadi yatim selepas kesyahidan suaminya di medan Uhud.
Cinta juga adalah alasan yang sah menolak pinangan seorang lelaki kaya yang disukai ibu bapa, sedang wanita itu menyintai yang miskin. sehingga Rasulullah bersabda, “Tidak terlihat oleh dua orang yang saling mencintai sesuatu yang lebih indah selain pernikahan” (Sunan Ibnu Majah).

Cinta menolak saudara saudari kita berkorban selimut yang tebal, demi rakannya yang kesejukan. Menolak rasa kelaparan demi menghulur bantu apa yang mampu pada teman yang kemiskinan. Membuka telinga seluas yang perlu bila ada keluh-kesah yang perlu didengar, sedang pendengar itu sendiri perasaannya lirih dan amat pedih. Cinta kepada saudara inilah, manifestasi iman yang sebenar-benarnya! Telah bersabda Rasulullah SAW; “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” (HR Bukhari & Muslim).

Cinta boleh membuat manusia sayu, apabila tidak disambut, apabila dicabut secara rela atau terpaksa. Ketiadaan cinta boleh membuat sahabat menjadi seteru, kawan jadi lawan, yang jernih semakin keruh.
Cinta boleh buat manusia tidak kisah, asal boleh, redah!!
Cinta membangkitkan rasa mahu dan ingin, ni’mat islam ini menjalar ke seluruh anggota keluarga, masyarakat dan kemudiannya dunia! Cinta, dengan izin Allah, akan menggerakkan kaki, tangan dan fikiran untuk bergerak laju menyebarkan Islam!
Cinta boleh sampai pada tahap kehabisan sumber dalam diri untuk tujuan percintaan itu!
Cuma satu soalan yang perlu ditanya kepada setiap jiwa yang bergelar hamba; pada apa, dan pada siapa cinta itu dilabuhkan. pada apa, dan pada siapa, cinta itu diutamakan?
Tidak hairanlah jika Hassan Al-Banna berkata, “Dengan dua sayap (Iman dan cinta) inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan”

Oleh: Natasha bt Ismail

0 comments

Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?


1. Isu hiburan di dalam Islam sudah banyak dikupas oleh ramai ulamak. Dr Yusuf al-Qardhawi ada menulis buku khas tentang isu hiburan di dalam Islam. Beliau juga ada mengulas di dalam bukunya Malamih Mujtama; Muslim. Dr Abd Karim Zaidan menulis tentang hiburan di dalam jilid ke 4 bukunya Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah.  Dr Abdullah Naseh Ulwan ada juga menghuraikan isu hiburan ini di dalam mukadimah lirik koleksi nasyid Abu al-Jud.  Ini antara tulisan terbaik di dalam isu ini yang saya jumpa. Dan tentunya banyak lagi tulisan yang baik yang saya tak jumpa, tersebar luas di dalam dunia penulisan Islam. Saya tidaklah merujuk kembali kepada buku-buku itu untuk menulis entry ini, kerana isu ini tidaklah susah sangat untuk difahami.

2. Hiburan yang diharamkan adalah yang berlawanan dengan batas syarak seperti percampuran lelaki perempuan, disertai arak, tarian yang mengghairahkan, ayat-ayat yang mengandungi unsur lucah, membawa kepada kelalaian sehingga terabai perkara-perkara fardhu dan begitulah seterusnya. Isu muzik dan suara wanita; ini adalah perkara khilaf yang juga sudah banyak diperbincangkan ulamak. Begitu juga isu paparan gambar-gambar wanita jelita yang menutup aurat. Selagi mana ianya khilaf, maka terpulanglah kepada masing-masing untuk menilai dan mentarjih.

3. Jika hiburan itu dapat dikawal sehingga ianya benar-benar menepati syarak, ia masuk di dalam kategori perkara harus (mubah). Perkara harus tidaklah harus secara mutlak. Imam Muhammad Abu Zuhroh misalnya meletakkan bahawa perkara yang harus tidak boleh ditinggalkan secara mutlak dan juga tidak boleh dilakukan berterusan secara mutlak. Tidak harus seseorang untuk meninggalkan makan minum secara mutlak kerana ia akan membawa kepada kemusnahan jiwa. Tidak boleh juga berhiburan secara berterusan siang dan malam kerana ia akan membawa kepada terabai perkara-perkara fardhu.

4. Islam tidak menolak hiburan tetapi sebaliknya meletakkannya pada posisinya yang tobie, iaitu sebagai tahsiniat di dalam kehidupan. Dikawal dengan kawalan tertentu agar ia tidak memusnahkan perkara-perkara dhoruriat di dalam syariat.

5. Hiburan di negara kita sudah melebihi saiz dan dos yang dibenarkan oleh syariat. Suasana dalaman rumah yang dikuasai oleh tv dan siaran radio, budaya berhibur sehingga melebihi lewat malam, kandungan siaran tv dan isi kandung perbualan di radio, cerita-cerita dan gosip di dalam media cetak dan lain-lain lagi menjadi bukti kepada apa yang saya sebutkan ini. Apabila ia sudah melebihi tahap, maka natijah dari itu adalah pengabaian banyak kefardhuan, tanggungjawab, perlanggaran hak dan sifat-sifat negatif yang mendarah daging di dalam diri individu muslim.
6. Mengawal hiburan adalah tanggungjawab semua pihak; kerajaan, pembangkang, ngo, parti, pertubuhan Islam, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau, penghulu, majikan, ibu bapa dan setiap individu. Islam mempunyai budayanya yang tersendiri, dan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya tersebut.
7. Apabila isu hiburan ini dipolitikkan, yang ruginya adalah orang Islam. Apabila kerajaan negeri Kedah membuat keputusan menutup pusat hiburan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan, umat Islam sepatutnya bersatu untuk menyokongnya kerana ia adalah jalan yang akan meningkatkan pembudayaan Islam di dalam negeri. Sekarang dipaparkan pula kerajaan Melaka membenarkan15  pusat hiburan dibuka sehingga jam 3 pagi hari Jumaat-Ahad, maka sekali lagi umat Islam patut bersatu untuk menghalangnya.
8. Jika ada yang mengatakan bahawa itu hak bukan Islam, maka ia perlu dibenarkan kepada mereka; pandangan saya, perkara ini perlu dilihat melalui dua perspektif:
§  Islam adalah agama negara ini. Hak ini diberikan oleh perlembagaan dan juga dari segi sejarah negara ini sendiri. Budaya yang mesti dominan adalah budaya Islam. Hiburan akan dikawal berdasarkan budaya Islam tersebut. Dengan itu jadual tutup buka pusat hiburan, iklan, barang jualan dan sebagainya sepatutnya disusun ke arah mengekalkan budaya Islam tersebut dan bukan mengubahnya. Budaya yang asing dari budaya Islam tidak sepatutnya kelihatan secara nyata di dalam kehidupan zahir masyarakat.
§  Orang bukan Islam sendiri tidak semuanya suka hiburan yang berlebihan itu. Barat sendiri  yang merupakan kiblat mereka sudah mula meletakkan disiplin tertentu kepada isu hiburan di negara mereka. Mereka sudah keletihan melayan orang mabuk yang tersilap masuk rumah, muntah-muntah di laluan pejalan kaki, pemandu teksi yang merungut kerana dipaksa untuk bekerja sehingga lewat malam demi pemabuk yang mahu pulang ke rumah, kes-kes kecurangan suami isteri, anak-anak luar nikah yang menuntut hak secara tiba-tiba, jenayah rogol yang tidak boleh dikawal, kadar kemurungan yang tinggi, pengambilan dadah yang sudah tidak boleh dikawal, anak-anak yang liar dan ketagihan arak yang membawa kepada penyakit yang pelbagai.

9. Apabila kita bercakap tentang larangan dan kawalan hiburan, selain sistem dan penguatkasaan undang-undang, kita juga bercakap tentang pembudayaan. Tetapi, sudah pasti bahawa pembudayaan bukan satu perkara yang mudah. Pembudayaan adalah projek jangka masa panjang yang hanya akan dilihat hasilnya dengan perubahan generasi demi generasi. Sikap kita hari ini akan menentukan apakah budaya yang akan muncul nanti dalam masyarakat.
10. Akhirnya saya menyeru kepada semua terutamanya pihak berwajib dan berpengaruh di dalam masyarakat dan negara agar mengambil langkah yang betul di dalam isu hiburan di negara kita ini.
Wallahu al-Musta’an


Pengarang: Ustaz Fauzi Asmuni, Naib President II Ikatan Muslimin Malaysia
0 comments

Riwayat Hidup Salahudin Al-Ayubi. Part-4


Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan.

Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.


0 comments

Riwayat Hidup Salahudin Al-Ayubi. Part-3

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang.


Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. 

Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.

Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.

Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

0 comments

Riwayat Hidup Salahudin Al-Ayubi. Part-2





Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.

Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.



Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.



Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kemangkatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.





0 comments

Riwayat Hidup Salahudin Al-Ayubi. Part-1

Salahudin Al-Ayubi, Penakluk Jurusalem.




Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.

Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan terbilang.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.

Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216). 

Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.

Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.

Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.



0 comments

Jangan Berputus Asa Terhadap Allah

 Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.
Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud: “Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”. (Lata’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).
Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.
Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.
Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.
Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.


Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-’Imran: 164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.
Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.
Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.
Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.
Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.
Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28).
 Wallahua’lam.


Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...