Facebook Twitter Delicious Stumble Upon

Bersederhana Dalam Membenci


Membela orang yang dicintai satu tindakan yang mulia, namun membela musuh yang sedang dizalimi jauh lebih mulia.
sikap ini ini mencerminkan hati yang telah mampu menundukkan nafsunya kepada ketentuan hukum Allah S.W.T.

menyentuh perkara ini, saya teringat sebuah kisah benar yang terjadi di Mesir pada masa dahulu. Ia membabitkan dua orang tokoh ulama di kota tersebut iaitu Ibn Daqiq al-'Id dan Ibn Binti al-A'zzi. Kerana sebab² tertentu, hubungan mereka penuh dengan konflik yang cukup panas.

Suatu hari, Ibn Binti al-A'azzi melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan oleh Sultan dan wazir. Mereka lalu berpakat untuk menghukum mati ulama ini dengan mencipta tuduhan palsu yang mengatakan Ibn Binti al-A'azzi telah murtad.

Tuduhan itu ditulis pada selembar surat yang diedar kepada setiap tokoh besar di Mesir dan telah menandatangani dan mempersetujui kandungan surat tersebut.

Tokoh yang terakhir menerima surat itu ialah Ibn Daqiq al-'Id. Sejurus menerima surat itu Ibn Daqiq al-'Id  membaca isinya dengan teliti. Beliau tidak mengendahkan gesaan dari tokoh² yang hadir untuk nenandatangani surat itu, tetapi beliau terus membacanya isinya dengan penuh khusyuk. Andai beliau turut bersetuju, maka Ibn Binti al-A'azzi yang selama ini memusuhinya tidak akan selamat daripada hukuman mati.

Selesai membaca, Beliau pun mengangkat kepalanya dan berkata: "tidak halal bagiku menandatangani surat ini". Kata² itu sangat mengejutkan kepada semua orang kerana mereka menyangka yang tokoh ini akan menggunakan kesempatan itu untuk menyingkirkan musuhnya selama-lamanya.

Tiba²  salah seorang yang berada di sana merayunya dengan berkata: " Tuan, lakukanlah demi Paduka Sultan dan wazir". Lalu Ibn Daqiq al-'Id menjadi marah apabila mendengar  kata² itu, lalu beliau berkata: "Aku tidak akan ikut serta dalam membunuh seorang Muslim!".

Sikap tegas itu telah menggagalkan konspirasi jahat itu sekaligus meninggikan nama Ibn Daqiq al-'Id dalam lembaran sejarah umat Islam hingga ke hari ini...



Kebencian yang melampau
Apabila kebencian kita melampaui garis Wasatiyyah, kita akan hidup dalam deraan psikologi yang sangat menyeksa. Setiap kali mendengar nama orang yang kita benci itu, fikiran kita akan menjadi keruh. Jika seseorang memujinya, hati kita akan terbakar.

Hati kita dipenuhi pelbagai sangkaan buruk setiap kali kita melihat orang yang kita benci itu melakukan atau mengucapkan sesuatu. Kita sukar percaya bahawa ia mampu berbuat baik, bahkan mampu berniat baik.
Kita tidak dapat menerima hakikat bahawa setiap orang memiliki kelebihan walau sekecil manapun, kita lebih tidak boleh menerima jika orang lain mengetahui kelebihan itu. Kita akan sibuk membuka aib dan keburukan orang itu untuk menutup mata semua orang  daripada melihat kebaikannya.



Pada tahap yang lebih parah, kita bukan hanya membenci pada orang itu, malah turut membenci orang² yang ada bersamanya . Semakin bertambah orang yang kita benci, semakin kurang la jua orang yang kita boleh percayai. Akhirnya, kita hidup di tengah ramai musuh dan sedikit kawan. hati kita selalu tidak tenteram.
Ya. Kebencian yang melampau hanya merosakkan diri sendiri. Oleh sebab itu al-Hasan al-Basri berkata: "Bersederhanalah dalam mencintai, dan moderatlah dalam membenci. Sungguh ramai orang yang binasa kerana berlebihan dalam mencintai. Dan sungguh ramai orang yang yang binasa kerana berlebihan dalam membenci" (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-iman)

Ya Allah, kami meminta agar dapat menjaga keadilan dalam cinta dan benci. Dan jagalah mata hati kami daripada dibutakan oleh kedua-duanya. Benar, buta mata hati adalah seburuk-buruk musibah yang engkau timpakan kepada hamba-Mu di muka bumi ini... Amin ya rabbal'alamin...


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...