Susahnya nak menyedarkan orang yang tengah dibuai cinta, lena dengan cinta, kerana biusan cinta. Fikirannya sudah lumpuh dan segala orang yang tidak memahaminya dikatannya BODOH.
Cinta itu bagaikan kurap, makin digaru makin sedap! Kata seekor buaya darat di kampus di hadapan kawan-kawannya. Mengapa macam kurap? Mmmm hanya orang yang lena dibius cinta saja yang merasainya. Cakap mereka sudah tidak tentu hala, nasihat sesiapa saja pun ditepisnya dengan mudah. Al-maklumlah.. sudah dibius dengan DADAH CINTA. Mabuk cintalah jadinya. Cinta… oh cinta…. Soal Cinta ini bukan soal baru.
Ikhtibar dari Cinta Zulaikha
Pernahkah kamu membaca tentang cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf A.S? Sehebat-hebat cinta kamu, cinta Zulaikha lagi hebat!. Ha, Allah S.W.T telahpun mengajar kita tentang cinta dari dulu lagi. Bercinta itu indah, tetapi harus BERHATI-HATI DENGAN CINTA. Jangan main-main~. Terlebih METER CINTA, boleh gila kita dibuatnya.
Seorang Wanita yang bergelar Zulaikha, sudah mabuk cinta bukan kepada suaminya al-Aziz, tetapi kepada anak angkatnya sendiri, Nabi Yusuf A.S. Dia sanggup melakukan apa saja demi Yusuf A.S. Diperangkapnya Yusuf hingga terfitnah anak muda yang suci bersih itu. “Apa orang faham tentang perasaanku? Apa yang kamu tahu pasal cinta? Apa yang kamu tahu tentang perasaanku terhadap Yusuf? Aku yang merasa dan aku yang menanggung semuanya!”
Suaminya memberitahu Yusuf agar melupakan peristiwa baju terkoyak di kamar, dan menasihati Zulaikha agar bertaubat kepada Allah…
“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini, dan engkau (wahai zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang bersalah!” (Yusuf: 29)
Bukankah kita selalu menasihati kawan-kawan kita yang sedang leka dibuai cinta? Tetapi ditepisnya begitu saja. Malah kita pula dimarah balik. Sampai dimaki hamun. Bukan tidak berhikmah apa yang kita cakapkan, tapi sudah mabuk cinta, fikirannya sudah melayang-layang, hilang pertimbangan. “Macam orang peminum arak, sudah mabuk, jalan pun dah tak betul.” Kata seorang yang penuh pengalaman Cinta.
Nasihat suaminya tidak dipedulikan Zulaikha, malah dia lebih nekad, mengumpulkan teman-temannya yang mengata untuk membuktikan yang cintanya tidak sembarangan.
“Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di Bandar (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: isteri al-Aziz itu memujuk hambanya (yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada yusuf) itu sudah meresap ke dalam lipatan hatinya; Sesungguhnya kami melihatnya berada di dalam kesesatan yang nyata!” (Yusuf 12: 30)
Keinginannya yang melampau itu telah membuatkan segala rasa malu yang selama ini menutupi dirinya telah terbuka luas. “Qad syaghafaha hubba!” Ungkapan dari al-Quran tentang manusia yang mabuk cinta. Inilah yang kita lihat terhadap kawan-kawan kita yang sedang ghairah dengan cinta. Jangan hairan melihat kerenah mereka. Tudung tidak bertudung, janggut tidak berjanggut, mereka sudah lumpuh di alam realiti. Inilah yang diberitahu Allah S.W.T : “… sesungguhnya kami melihanya berada dalam kesesatan yang nyata!” (Yusuf: 30)
“maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka. Serta Memberi kepada setiap orang diantara mereka sebilah pisau. Lalu pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): ‘Keluarlah di hadapan mereka.’ Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: ‘Jauhnya Allah daripada kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain malaikat yang mulia!’ “ (Yusuf: 31)
Teman-teman yang dikumpulkan Zulaikha juga terpukai meliha Yusuf A.S. Bukan sahaja mereka tidak dapat melarikan pandangan mereka dari Yusuf A.S, tetapi telah melukakan tangan mereka sendiri, tanpa disedari. Itulah yang Zulaikha ingin mereka rasakan, supaya mereka faham biusan cinta Zulaikha terhadapa Yusuf A.S.
“ (Zulaikha) berkata: ‘inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuk berkehendak dirinya, tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; Dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu ia melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi orang-orang yang hina’.” (Yusuf: 32)
Begitu sukar untuk menyedarkan orang yang tengah mabuk cinta. Apa yang perlu adalah suatu keteguhan. Bagi mereka yang bersungguh-sungguh memegang iman, ketahuilah bahawa mencegah diri daripada biusan cinta harganya boleh sampai ke nilai sebuah PENJARA. Itu lah pilihan Yusuf A.S. Tidak tunduk kepada cinta dan tidak tunduk kepada paksaan. Yusuf A.S berdoa kepada Allah, andai penjara itu boleh menyelamatkannya daripada biusan cinta, maka penjara itulah yang dipohonnya.
“Yusuf berkata: ‘Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika engkau tidak menjauhkan tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan tergolonglah aku dari kalangan kaum yang jahil’.” (Yusuf 12: 33)
Zulaikha mengambil masa yang panjang untuk sedar dari kesesatannya, sesat dalam dosa. Kebenaran Yusuf A.S akhirnya diperakuinya dan Zulaikha akhirnya bertaubat kepada Allah… seperti yang terungkap dalam surah Yusuf ayat 51, “… berkatalah isteri pembesar itu; ‘Sekarang telah nyata kebenaran, akulah yang mahukan dia; dan sesungguhnya ia (adalah) dari golongan orang-orang yang benar’.”
NASIHAT KEPADA YANG SEDANG MABUK CINTA.
Sesungguhnya cinta itu besar, jangan diremehkan cinta. Jika disalah gunakan akan mengundang bencana kemusnahan yang besar. Hari ini, segala yang ada disekitarmu, merangsang diri untuk tunduk kepada desakan TREND masa kini. Jalan untuk cinta dosa dan zina terbentang luas, berbanding jalan taat kepadaNya yang penuh liku. Maka, peliharalah dirimu seperti semangat yang ada pada Yusuf A.S, jagalah kesucian dirimu dengan bersungguh-sungguh dengan berpegang pada tali Allah S.W.T, jangan lah berdolak-dalik sekali dua saja sudah dikatakan berusaha.
Bagi yang telah mabuk cinta, tidak mudah untuk kita berkomunikasi dengan mereka, tetapi berusahalah sedaya yang mampu sahaja. Berikan masa kepada mereka dan menjadi sebahagian daripada penawarnya, untuk menyedarkan mereka dari kesesatan.
Berhati-hatilah pada PERMAINAN CINTA. Kita tidak tahu apa yang ada di hadapan sana…
panjang tapi berinfomatif..
mantap..!!